Monday, March 21, 2011

Usaha-usaha ibu bapa mengawal pengaruh rancangan televisyen realiti


Pada alaf globalisasi ini, rancangan televisyen realiti yang bercorak hiburan interaktif yang berakar umbi dari barat semakin mendapat sokongan daripada golongan masyarakat. Semakin banyak generasi muda berlumba-lumba untuk menyertai progam tersebut kerana mereka menganggap ia boleh merealisasikan impian mereka untuk bergelar penghibur, tetapi mereka tidak menyedari bahawa perkara tersebut tidak dapat merealisasikan impian mereka malah akan melalaikan. Sebagai akibatnya, generasi muda akan membazirkan masa mereka dalam program tersebut dan menyebabkan mereka tidak dapat menghabiskan pelajaran mereka. Menyedari hakikat ini, ibu bapa sebagai orang yang paling mesra dengan anak mereka harus mengawal pengaruh rancangan televisyen realiti ini. Bak kata pepatah, anak bagaikan kain putih dan suci yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya.

Pendekatan pertama ialah ibu bapa patut memberi suri teladan yang baik terhadap anak mereka. Hal ini demikian kerana kebelakangan ini ibu bapa sendiri yang hanyut dalam budaya hedonisme, mereka pula yang menjadi peminat atau penyokong peserta dalam rancangan. Contohnya, ibu bapa yang setia menatap peti televisyen sehingga ke akhir program “American Idol” ataupun mengambil cuti pada hari kerja hanya untuk menonton rancangan tersebut. Ibu bapa patut membaiki sifat mereka sebelum hendak menegur anak untuk menjauhkan diri daripada rancangan televisyen realiti, kalau tidak dengan apa alasan ibu bapa boleh menegur anak tanpa suri teladan diri sendiri yang baik. Tuntasnya, anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan melakukan kasalahan. Akhirnya, janganlah ibu bapa bersikap sebagai ketam mengajar anaknya berjalan tegak.

Selain itu, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi demi mematangkan fikiran anak-anak. Hal ini selaras dengan peribahasa yang menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Prinsip sebegini wajar diaplikasikan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak supaya menjadi modal insan yang berguna terhadap negara. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan anak-anak ingin melakukan perkara yang tidak berfaedah terhadap diri sendiri dapat diatasi. Selain itu, ibu bapa harus menasihati anak supaya menumpukan perhatian mereka dalam akademik dan jangan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah terhadap mereka. Dengan pendidikan formal yang efektif, anak-anak akan lebih matang dan tidak akan dipengaruhi dengan rancangan yang tidak bermakna.

Tambahan pula, ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin mengikut jejak orang yang hanya bermimpi untuk menjadi terkenal melalui rancangan televisyen sehingga rela mengkorbankan pelajaran. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Ibu bapa seharusnya meluangkan masa mereka untuk mengajar anak mereka tentang ajaran agama dan moral. Misalnya, ibu bapa mengajar anak tentang nasihat dalam agama supaya sentiasa berpegang pada ajaran agama dan tidak dipengaruhi dengan rancangan barat yang berunsur bertentangan dengan agama. Dengan ini, pengaruh rancangan televisyen realiti dapat dikawal.

Seperkara lagi, ibu bapa harus tegas dan mendisiplinkan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dewasa ini anak-anak dibesarkan seperti menatang minyak yang penuh oleh ibu bapa, ibu bapa terlalu memanjakan anak mereka tanpa memikirkan tentang masa depan anak mereka. Sebagai contoh, anak yang tidak berbakat dalam bidang penghibur degil untuk menyertai pertandingan dianjurkan dalam rancangan televisyen tidak dihalang oleh ibu bapa, sebaliknya menyokong dia. Ibu bapa patut memberi denda yang berpatutan terhadap anak mereka jika mendapati anak melakukan perkara tersebut. Bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, lebih baik ibu bapa mendisiplinkan anak mereka dengan tegas sebelum masa depan mereka dimusnah.

Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti ini tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada anak-anak. Oleh itu, ibu bapa berperanan dan bertanggungjawab untuk menghindari anak mereka daripada dipengaruhi dengan rancangan realiti ini. Kita berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam mendidik anak supaya menjadi seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekeang daripada menjadi duri dalam daging masyaraat kerana nusa tercita ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.





Disediakan oleh Dehvaraj dan ChngKarHeng